Bismillahirrahmanirrahim.
Dah lama sangat tak menulis di blog ini. Ada banyak perkara yang berlaku di sekeliling yang ingin dicatat di sini tetapi sering tak berkesempatan oleh kesibukan rutin harian. Walaubagaimanapun, ada satu perkara yang sering bermain di fikiran untuk dicatat sebagai renungan...
Rentetan daripada satu peristiwa sewaktu menziarahi seorang sahabat,pada suatu petang. Ada suara dari luar rumah Kak M;"Assalamualaikum!".
Kami pun menjenguk ke luar sambil menjawab,"Waalaikumsalam!"
Kelihatan dua orang lelaki :"Ini rumah En. R? "
Kebetulan suami Kak M tiada di rumah, Kak M pun dimaklumkan oleh tetamu-tetamu tadi bahawa mereka wakil dari bank untuk menuntut bayaran ansuran kereta yang sudah tiga bulan tidak dibayar. Setelah berbincang, Kak M memberi pengakuan untuk menjelaskan bayaran tersebut keesokan harinya.
Sebenarnya saya merasa serba salah bila berada di situ pada masa itu. Kak M dan suaminya sudah lama saya kenali. Saya yakin mereka bukan sengaja tidak menjelaskan bayaran ansuran kereta mereka itu. Mereka adalah pasangan pesara kerajaan yang tidak mempunyai banyak tanggungan dan sering pergi melancong ke luar negara. Sebenarnya itulah juga yang disebut kepada wakil bank tersebut, mengatakan suaminya tidak sempat dan mungkin juga terlupa kerana 'asyik' pergi berjalan. Mereka mampu menjelaskan hutang mengikut jadual malah mampu melangsaikan hutang tersebut,(jika diambil kira perbelanjaan yang dikeluarkan semasa pergi melancong). Itulah andaian saya!
Ramai orang (termasuk beberapa orang kenalan rapat) yang tidak memberatkan tanggungjawab melunaskan hutang padahal mereka mampu berbuat demikian, terutama sekali hutang yang berjadual seperti hutang dengan bank. Bukankah menjelaskan hutang itu wajib? Alangkah baiknya sekiranya dapat diselesaikan dahulu hutang apabila mampu, berbanding pergi melancung?
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1158.
Dari Aisyah r.a., ia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. biasa berdoa dalam solat, dan dibacanya: "Hai Tuhan! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari berbuat salah dan berhutang." Ada orang yang bertanya kepada beliau: Kenapakah engkau amat banyak minta perlindungan daripada berhutang? Beliau menjawab: "Orang yang berhutang bila berkata berdusta, bila berjanji tidak menepatinya. "