Thursday, May 3, 2012

Hutang

Bismillahirrahmanirrahim.
Dah lama sangat tak menulis di blog ini. Ada banyak perkara yang berlaku di sekeliling yang ingin dicatat di sini tetapi sering tak berkesempatan oleh kesibukan rutin harian. Walaubagaimanapun, ada satu perkara yang sering bermain di fikiran untuk dicatat sebagai renungan...

Rentetan daripada satu peristiwa sewaktu menziarahi seorang sahabat,pada suatu petang. Ada suara dari luar rumah Kak M;"Assalamualaikum!". 
Kami pun menjenguk ke luar sambil menjawab,"Waalaikumsalam!"
Kelihatan dua orang lelaki :"Ini rumah En. R? "
Kebetulan suami Kak M tiada di rumah,  Kak M pun dimaklumkan  oleh tetamu-tetamu tadi bahawa mereka wakil dari bank untuk menuntut bayaran ansuran kereta yang sudah tiga bulan tidak dibayar. Setelah berbincang, Kak M memberi pengakuan untuk menjelaskan bayaran tersebut keesokan harinya.

Sebenarnya saya merasa serba salah bila berada di situ pada masa itu. Kak M dan suaminya sudah lama saya kenali. Saya yakin mereka bukan sengaja tidak menjelaskan bayaran ansuran kereta mereka itu. Mereka adalah pasangan pesara kerajaan yang tidak mempunyai banyak tanggungan dan sering pergi melancong ke luar negara. Sebenarnya itulah juga yang disebut kepada wakil bank tersebut, mengatakan suaminya tidak sempat dan mungkin juga terlupa kerana 'asyik' pergi berjalan. Mereka mampu menjelaskan hutang mengikut jadual malah mampu melangsaikan hutang tersebut,(jika diambil kira perbelanjaan yang dikeluarkan semasa pergi melancong). Itulah andaian saya!

Ramai orang (termasuk beberapa orang kenalan rapat) yang tidak memberatkan tanggungjawab melunaskan hutang padahal mereka mampu berbuat demikian, terutama sekali hutang yang berjadual seperti hutang dengan bank. Bukankah menjelaskan hutang itu wajib?  Alangkah baiknya sekiranya dapat diselesaikan dahulu hutang apabila mampu, berbanding pergi melancung?

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1158.
Dari Aisyah r.a., ia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. biasa berdoa dalam solat, dan dibacanya: "Hai Tuhan! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari berbuat salah dan berhutang." Ada orang yang bertanya kepada beliau: Kenapakah engkau amat banyak minta perlindungan daripada berhutang? Beliau menjawab: "Orang yang berhutang bila berkata berdusta, bila berjanji tidak menepatinya. "




Tuesday, June 7, 2011

SEKOLAH

Setiap hari kerja menghantar dan mengambil anak dari sekolah telah menjadi rutin.Sekarang saya cuma perlu menghantar dan menjemput ajwa dan ziyad, yang lain sudah ke sekolah berasrama dan ke ipt. Seawal 7 pagi , jika tiada yang meragam antara keduanya,(biasanya tiada masalah jika cuti hujung minggu hanya dua hari, sabtu dan ahad)..... perjalanan ke sekolah ajwa cuma lima minit sahaja. Setelah bersalam dan ciuman di pipi, ajwa akan terus melangkah ke kelasnya.
Perjalanan ke sekolah ziyad  mengambil masa antara lima belas keduapuloh minit. Masa inilah ziyad akan bersarapan dengan sebotol susu. Biasanya dia akan minta saya pasangkan lagu-lagu nasyid sepanjang perjalanan. Saya akan menunggu sehingga ziyad menghabiskan susunya barulah saya hantarkan ke muka pintu sekolahnya.
Sambil minum susu ziyad akan bertanya pelbagai soalan, biasalah anak-anak yang sedang membesar. Walaupun beliau anak ke lapan, bukan semua soalan yang ditanya adalah soalan yang pernah ditanya oleh abang-abang atau kakak-kakaknya . Ada antara soalannya yang tidak perlu saya jawab (hanya membuat mimik muka sahaja mencukupi), tetapi ada juga soalan yang tidak dapat saya nak jawab.
ziyad : umi, mana awan?
umi : tu... kat atas sana (sambil tunjuk ke langit)
ziyad : haiiiiii kenapa awan ada kat sana, tak ada kat sana? (sambil tunjuk bahagian langit yang tak berawan)
umi : sebab Allah jadikan awan kat sana... tak dekat sana....
ziyad : kenapa? (dengan rasa tak puas hati)
umi : sebab Allah tu Maha Hebat, Dia suruh angin tiup awan tu pergi sebelah sana... nak bagi teduh kat sana pulak...
ziyad : oooohhh

Di lain masa soalan itu akan berulang lagi, cuma jawapan yang sama akan mengundang soalan-soalan yang lebih mencabar... yang menerpa ke dalam aqal pemikirannya yang semakin berkembang.

Monday, October 11, 2010

ANAK

Mempunyai anak adalah anugerah atau rezeki dari Allah kepada manusia. Anak adalah cahayamata bagi sebuah keluarga. Keletah anak-anak akan menghilangkan keletihan ibu dan bapa.

Ramai pasangan yang berkahwin akan berusaha untuk mendapatkan zuriat jika ditakdirkan masih tidak mendapat anak selepas beberapa tahun berumah tangga. Kadang-kadang budaya masyarakat yang suka 'mengusik' pasangan yang tiada zuriat ini boleh menyebabkan perasaan tidak aman kepada pasangan tersebut.

Saya bersyukur kerana dikurniakan dengan cahaya mata yang ramai, Anak sulung yang hadir selepas dua kali keguguran sememangnya menjadi penambah seri dalam kehidupan ini.

Anak-anak yang dikurniakan pula bertambah setiap tahun. Alhamdulillah. Masing-masing dengan keletah yang tersendiri, sentiasa mencuit hati dan membuat saya tersenyum.

Suatu malam, aufa yang berusia lebih kurang 3 tahun bertanya ; "ummi, kenapa malam gelap? siang terang? Sapa tutup lampu masa malam ? sapa buka lampu masa siang?"
Aufa memang suka bertanya soalan Dia rajin membaca ( membelek-belek) buku  dari usia beberapa bulan.
"Ohhh, Allah yang tutup lampu dan buka lampu untuk kita."
"Kenapa?" tanya Aufa lagi.
"Sebab Allah pasang lampu bagi terang supaya senang Aufa nak main, makan , minum, baca buku ..... dan malam Allah tutup lampu sebab nak suruh Aufa tidur!" kata saya.

Monday, August 16, 2010

Ramadhan

Alhamdulillah Ramadhan datang lagi.
Salam Ramadhan kareem untuk semua. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.

Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-